Jambatan Batang Rajang Realisasikan Impian Penduduk Sarikei dan Kuala Rajang
SARIKEI: Hasrat penduduk Sarikei dan Kuala Rajang untuk menikmati jaringan jalan raya yang lebih baik kini menjadi kenyataan dengan pembinaan Jambatan Batang Rajang.
Infrastruktur ini bukan sahaja mempermudahkan perjalanan, tetapi juga merancakkan pertumbuhan ekonomi di kawasan sekitar.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata bahawa jambatan ini merupakan jaringan penting yang menghubungkan Sarikei dengan Tanjung Manis, sekaligus memudahkan urusan harian dan perniagaan penduduk setempat.
“Saya berterima kasih kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg kerana bersetuju memperuntukkan dana bagi pembinaan jambatan ini. Ia merupakan jaringan strategik, terutama dalam menghubungkan Sarikei dengan Zon Tengah,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Majlis Pra-Pelancaran Jambatan Batang Rajang di sini pada Khamis.
Beliau turut menekankan bahawa kejayaan kerajaan dalam membina infrastruktur jalan ini adalah hasil kerjasama erat dan sokongan masyarakat setempat, yang memahami kepentingan pembangunan bagi kesejahteraan bersama.
Majlis Pra-Perasmian Jambatan Batang Rajang itu telah disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak,Datuk Amar Douglass Uggah Embas.
Hadir sama, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Taliff Salleh, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Ir. Aidel Lariwoo, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, Penasihat Premier Sarawak (Industri Makanan,Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri Dato Sri William Mawan Ikom, Ahli Parlimen Sarikei merangkap ADUN Repok, Dato Sri Huang Tiong Sii, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir. Yusuf Wahab dan Residen Bahagian Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong, Pengarah JKR Sarawak, Ir. Ts. Gs. Br. PMr. Dr. Cassidy Morris, Ketua-Ketua Jabatan serta ketua-ketua masyarakat yang hadir.-EDISI UKAS