Monumen 0 KM Akan Dibina, Mercu Tanda Baharu Bandar Raya Kuching
KUCHING: Sebuah monumen Kilometer Sifar atau 0 KM akan dibina di Kuching sekaligus menjadi mercu tanda baharu bandar raya ini.
Struktur dua meter tinggi dan tiga meter lebar itu menyerupai dua ekor kucing yang memegang papan tanda 0 KM.
Tiga lokasi sudah dikenal pasti bagi membina monumen itu, antaranya berdekatan Mahkamah Lama Kuching, berdekatan Jambatan Darul Hana Bridge dan berdekatan Jalan Gambier.
Ia merupakan sumbangan Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia (RISM) sempena sambutan ulang tahun ke-50 pertubuhan tersebut.
Majlis pelancaran mercu tanda 0 KM itu telah disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada Majlis Gala RISM Ke-50 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada Khamis.
Ia dijangka dibina dalam tahun ini selepas reka bentuk dan lokasi ditentukan bersama pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).
Secara tradisinya, monumen 0 KM menandakan lokasi atau asal tertentu, biasanya di ibu kota, dari mana jarak diukur lazimnya dari pejabat pos.-EDISI UKAS