SIBU: Bandar Sibu bakal memiliki jambatan ikonik yang seakan menyamai London Bridge.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembinaan jambatan berkenaan sudah pasti mentransformasi bahagian itu terutamanya dalam bidang ekonomi.
"Kalau di Bintulu ada 'Golden Gate Briged'. Orang Sibu juga tidak mahu kalah. Orang Sibu mahu bina 'London Bridge', yang menghubungkan kawasan barat. Jadi kita luluskan.
"Saya dan rakan-rakan (kabinet) akan mencari dana untuk membangunkan jambatan ini. Mudah-mudahan akan menjadi kenyataan," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri bersama Yang di-Dipertua Negeri Sarawak dan Premier Sarawak di sini, pada Jumaat.
Majlis diserikan dengan kehadiran Yang di-Dipertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi.
Datuk Patinggi Abang Zohari juga menambah, pembinaan jambatan itu akan meningkatkan potensi ekonomi bandar Sibu khususnya di kawasan barat yang boleh dibangunkan termasuk sektor pertanian dan industri berteraskan pertanian.
Terdahulu Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Datuk Dr Annuar Rapaee dalam ucapan aluannya memohon pembinaan jambatan tersebut.
Dalam pada itu, Premier Sarawak turut menyokong cadangan untuk membina Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Abang Ali.
Ujarnya, perbincangan akan diadakan bersama Kerajaan Persekutuan mengenai pekara tersebut.
"Kalau boleh kita akan buat tetapi Kerajaan Persekutuan perlu bayar balik untuk membangunkan sekolah menengah ini. Kita gunakan dana kita dulu," jelasnya.
Selain itu, beliau juga bersetuju untuk membangunkan Perumahan Pasangan Muda di Kampung Teku.
"Ini tidak menjadi masalah untuk kita membangunkan perumahan ini.
"Semua projek ini dapat kita buat. Alhamdulillah pendapatan Sarawak meningkat sejak saya menjadi ketua kita. Kita doakan pendapatan kita akan terus bertambah," katanya.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar serta isteri, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan-timbalan Menteri dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak serta Residen Bahagian Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman. -EDISI UKAS