LUNDU: Cadangan pembinaan semula Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu kini dalam perhatian kerajaan sebagai langkah strategik memperkukuh infrastruktur keselamatan serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat setempat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Santubong, Dato Sri Nancy Shukri berkata, cadangan tersebut telah dikemukakan oleh pihak IPD Lundu melalui Ketua Polis Daerah, dengan dua lokasi berpotensi dikenal pasti sebagai tapak pembangunan baharu.
Menurut beliau, lokasi yang dicadangkan adalah berhadapan dan tepi Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEX) Lundu, namun cadangan berkenaan masih di peringkat awal dan memerlukan penelitian lanjut termasuk kelulusan kerajaan negeri, khususnya melibatkan aspek pemilikan tanah.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Lawatan Kerja Rasmi ke IPD Lundu, pada Jumaat.
Beliau menegaskan bahawa keperluan menaik taraf IPD Lundu adalah selari dengan peranannya sebagai pusat utama masyarakat mendapatkan perkhidmatan keselamatan serta menyalurkan aduan, sekali gus menuntut kemudahan yang lebih moden dan kondusif.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa projek pembangunan Balai Polis Sematan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) telah diluluskan dengan kos sebanyak RM2 juta.
Katanya, projek tersebut melibatkan kerja meroboh dan membina semula bangunan sedia ada daripada struktur kayu kepada bangunan kekal, dan kini berada pada fasa pra-pelaksanaan.
Dalam pada itu, Dato Sru Nancy turut menjelaskan bahawa cadangan pembinaan IPD baharu perlu melalui prosedur ditetapkan termasuk penyediaan kertas cadangan untuk dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum dinilai dari segi keperluan dan implikasi kos.
Lawatan tersebut juga menyaksikan penyerahan sumbangan peralatan di bawah Program Rangkaian Kasih NS melibatkan kanopi, kerusi dan meja bagi menyokong operasi serta program kemasyarakatan IPD Lundu.
Sejak tahun 2023 hingga 2025, sebanyak RM836,101 telah disalurkan bagi menyokong keperluan logistik pihak polis dan komuniti, termasuk penyediaan kanopi, sistem pembesar suara serta lampu solar.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara Nordina Haron, Timbalan Pengarah Persekutuan Jabatan Kebajikan Masyarakat�(JKM) Sarawak Mohd Ali Taib dan Ketua Polis Daerah Lundu Supt Sudirman Kram. -EDISI UKAS