Program 'Ngabas Anak Sarawak' Rapatkan Kerajaan Negeri & Pelajar di Seluruh Negara
PULAU PINANG: Kerajaan Sarawak terus memperkasakan hubungan dengan pelajar-pelajar Sarawak di seluruh negara melalui penganjuran Program ‘Ngabas Anak Sarawak’ yang julung kalinya diadakan di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata Kerajaan Sarawak komited dalam memastikan anak-anak Sarawak yang berada di perantauan sentiasa mendapat sokongan dari segi pendidikan, peluang kerjaya dan pembangunan bakat serta mendapatkan informasi visi dan Misi Kerajaan Sarawak.
Menurutnya, antara inisiatif utama yang diketengahkan termasuklah bantuan laptop percuma bernilai RM3,000, baucar buku tahunan bernilai RM500 serta Bantuan Kewangan Khas (BKK) sebanyak RM1,200 setahun kepada pelajar Sarawak di seluruh Malaysia.
“Program ini membuktikan bahawa kerajaan negeri tidak melupakan anak-anak Sarawak di perantauan.
“Kami mahu anak-anak Sarawak terus berhubung dengan tanah air dan tahu bahawa Sarawak sentiasa menyokong perjalanan akademik dan kerjaya meraka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program 'Ngabas Anak Sarawak' di USM anjuran MEITD di sini pada Isnin.
Selain itu, majlis pelancaran tersebut turut dihadiri kira-kira 300 pelajar daripada pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta dari seluruh Semenanjung, termasuk dari Perlis, Kedah dan Perak.
Dalam pada itu, turut diadakan sesi Forum bersama Timbalan Menteri MEITD (Pengajian Tinggi dan Inovasi), Datuk Dr Annuar Rapaee dan Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman mengupas berkenaan dengan hala tuju Kerajaan Sarawak melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) dan peranan penting pelajar-pelajar di Sarawak.
Program tersebut turut menampilkan pelbagai aktiviti antaranya Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia, Pejabat Perhubungan Sarawak (Rumah Sarawak, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), SMD Sarawak, Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS), Sarawak Skills, Yayasan Sarawak dan Sarawak Volunteers.
Hadir sama Timbalan Menteri MEITD (Pembangunan Bakat), Datuk Francis Harden Hollis, wakil Setiausaha Tetap MEITD, Sharifah Fariah, wakil Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM Hafiz Meah Ghouse Meah, Pegawai Perhubungan Sarawak Awang Supian Awang Daud, Yang Dipertua Perkumpulan Anak-Anak Sarawak USM Andrian Russel Zacheous Keris dan Pengarah Projek Program 'Ngabas Anak Sarawak', Dominic Antasin Jessee.-EDISI UKAS