Perginya "Pak Lah", Bapa Pembangunan Modal Insan Negara
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia hari ini adalah figura penting yang banyak menyumbang ke arah pembangunan modal insan di negara ini, sehingga dinobat sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan.
Allahyarham, 85, yang mesra dipanggil “Pak Lah” merupakan pelopor kepada satu konsep gagasan pemikiran yang menekankan aspek modal insan sebagai landasan kecemerlangan generasi masa hadapan.
Bekas perdana menteri itu yang membawa imej pemimpin Islam sederhana itu, amat menekankan bahawasanya setiap insan perlu dilengkapi nilai-nilai positif seperti berilmu, mempunyai nilai murni, moral dan disiplin, bagi melengkapi proses pembangunan negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Sepanjang enam tahun mengemudi kerajaan bermula 31 Okt 2003, Abdullah antara lain menggariskan lima teras di bawah pentadbirannya iaitu Misi Nasional, Pelan Integriti Nasional, Pembangunan Koridor Ekonomi, Pembangunan Modal Insan serta konsep Islam Hadhari.
Dilahirkan pada 26 Nov 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Abdullah menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Permatang Bertam Pulau Pinang sebelum melanjutkan pelajaran peringkat menengah di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam, Sekolah Menengah Daeratul Maarifil Al-Wataniah dan Sekolah Lelaki Methodist Pulau Pinang.-BERNAMA