Pengerusi Affin Bank Akan Diputuskan Setelah Mendapat Persetujuan Bank Negara Malaysia
KUCHING: Pengerusi Affin Bank akan diputuskan setelah mendapat persetujuan daripada Bank Negara Malaysia (BNM).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, buat masa ini, pihaknya sudah mempunyai calon untuk menjawat tugas tersebut yang mana masih menunggu prosedur pelantikan melibatkan BNM.
“Calonnya sudah ada, tetapi perkara ini kita perlu mengambil kira prosedur bank negara kerana pelantikan ini perlu dipersetujui oleh BNM.
“Sekarang kalau kita lihat, Lembaga Affin Bank berjalan dengan baik,” ujarnya ketika ditemui media selepas menghadiri majlis Rindok Raya 2025 anjuran Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), di sebuah hotel terkemuka di sini pada Khamis.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, prestasi Affin Bank setakat ini berada pada tahap memuaskan, di mana mereka mempunyai perancangan masa depan untuk membiayai projek-projek di Sarawak.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri Malaysia Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang telah meninggalkan legasi besar kepada Sarawak dengan mencadangkan penubuhan RECODA semsa melancarkan agensi pembangunan di seluruh negara.
“RECODA ini adalah hasil daripada cadangan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di mana ini merupakan legasi yang ditinggalkan beliau semasa beliau melancarkan agensi pembangunan di seluruh Malaysia.
“Antara yang dilancarkan termasuklah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) bagi kawasan utara Semenanjung Malaysia, untuk Sarawak pula RECODA dan satu lagi agensi serupa untuk negeri Sabah.
“Ini adalah legasi Allahyarham yang kita teruskan hingga sekarang,” ujar beliau lagi.
Dalam majlis tersebut, Datuk Patinggi Abang Zohari turut menyaksikan penyerahan sumbangan bernilai RM15,000 daripada Pertama Ferroalloys kepada Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Negeri Sarawak (PERYATIM).
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan sumbangan Duit Raya kepada penghuni PERYATIM.
Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Dato Ibrahim Baki, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Ir Aidel Lariwoo, Timbalan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Dr Ripin Lamat, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat, Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong dan Ketua Pegawai Eksekutif RECODA Datuk Ismawi Ismuni. -EDISI UKAS