DEBAK: Berita baik kepada warga Debak setelah Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam mengumumkan perancangan untuk menaiktaraf Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Bandar Debak melalui kerjasama bersama Jabatan Pendidikan.
Menurut beliau, projek berkenaan melibatkan pembinaan bangunan baharu bagi menggantikan struktur lama yang uzur, di samping membina kemudahan tambahan untuk menampung pertambahan jumlah murid.
“Perancangan ini bukan sahaja bertujuan menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, malah menjadi sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memperkasa sektor pendidikan luar bandar," ujarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas itu berkata demikian semasa menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri SK Datuk Bandar Debak tahun 2025 yang berlangsung meriah di perkarangan sekolah tersebut pada Selasa.
Sementara itu, majlis turut dimeriahkan dengan penyampaian hadiah Pertandingan Pintu Gerbang Kampung Melayu Debak yang dianjurkan sempena sambutan Aidilfitri, memperlihatkan kreativiti serta semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat setempat.
Majlis seumpama ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pemimpin, masyarakat dan institusi pendidikan, malah memperkukuh tekad bersama dalam merealisasikan pembangunan pendidikan yang lebih mampan di kawasan Saribas.
Turut hadir, barisan Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat Melayu Daerah Debak, Guru Besar sekolah-sekolah sekitar Zon Debak serta para penduduk yang tidak melepaskan peluang untuk memeriahkan sambutan Aidilfitri tahun ini. - EDISI UKAS