Pemasangan Lampu Jalan Solar di Jalan Jakar, Jalan Kim San Dicadang Dipertingkat
KUCHING: Cadangan pemasangan lampu jalan solar di Jalan Jakar dan Jalan Kim San, Sarikei dilihat mampu meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya serta memenuhi keperluan komuniti setempat yang semakin berkembang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, Jalan Jakar kerap merekodkan kemalangan akibat keadaan jalan yang gelap dan kurang pencahayaan, manakala Jalan Kim San pula digunakan penduduk lebih 150 rumah termasuk sembilan rumah panjang.
Menurut beliau, penggunaan lampu jalan berkuasa solar bukan sahaja lebih selamat dan mesra alam, malah mampu mengurangkan kos penyelenggaraan serta menyokong pembangunan mampan di daerah tersebut.
“Penggunaan lampu jalan berkuasa solar bukan sahaja lebih selamat dan mesra alam, malah dapat mengurangkan kos penyelenggaraan serta menyokong pembangunan mampan di daerah ini.
“Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa pemasangan lampu jalan solar amat diperlukan bagi meningkatkan keselamatan pengguna serta memenuhi keperluan komuniti setempat yang semakin berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Dalam perbahasan sama, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi itu turut menyeru agar projek bekalan air terawat di Sungai Mawang dan Sungai Kuap, Ulu Sungai Rusa diberi keutamaan memandangkan masih terdapat lapan rumah panjang dan sebuah gereja di kawasan tersebut yang belum menikmati kemudahan berkenaan.
Menurut beliau, penduduk kini bergantung kepada tadahan air hujan yang bukan sahaja tidak konsisten, malah berisiko tercemar dan boleh menjejaskan kesihatan terutama golongan kanak-kanak serta warga emas.
“Tanpa bekalan air yang mencukupi, kehidupan harian penduduk turut terjejas termasuk aspek kebersihan, kesihatan dan keselamatan.
“Keadaan ini jelas menunjukkan keperluan mendesak untuk melaksanakan projek bekalan air terawat di kawasan tersebut,” ujarnya.
Selain itu, Dato Sri Huang turut membangkitkan beberapa isu lain melibatkan pembangunan Sarikei termasuk cadangan pembinaan poliklinik baharu, peningkatan liputan telekomunikasi, pembinaan dewan konvensyen, pembinaan dermaga komersial baharu serta rancangan mewujudkan kawasan perindustrian baharu.
Justeru, beliau berharap segala projek dan kemudahan yang dicadangkan dapat dipercepatkan demi memastikan rakyat di Sarikei terus menikmati pembangunan yang lebih seimbang dan berkualiti.-EDISI UKAS