Keselamatan Di Pan Borneo Perlu Diperkukuh Secara Berterusan
KUCHING: Usaha memperkukuh keselamatan jalan raya di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo perlu diteruskan secara berterusan menerusi pemasangan lebih banyak kemudahan keselamatan serta pelaksanaan penguatkuasaan berkala bagi mengurangkan risiko kemalangan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus berkata, langkah proaktif dan berterusan amat penting memandangkan lebuh raya tersebut menjadi laluan utama yang menghubungkan pelbagai daerah dan bahagian di negeri ini.
Menurut beliau, berdasarkan Laporan Statistik Kemalangan Jalan Raya 2025, sebanyak 543 kes kemalangan direkodkan dari Januari hingga Disember tahun lalu melibatkan 21 kematian.
Katanya, bagi tempoh Januari hingga April 2026 pula, sebanyak 191 kes kemalangan direkodkan dengan sembilan kematian.
“Bukit Semuja mohon agar pihak Kerajaan membuat atau memasang alat-alat seperti bonggol jalan, garisan jalur getaran dan kaedah penguatkuasaan secara berkala atau menggunakan alat-alat elektronik untuk memastikan keselamatan jalan raya di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo dan dapat mengurangkan kes kemalangan jalan raya, khususnya di daerah dan bahagian Serian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Menurutnya, langkah pencegahan dan kesiapsiagaan awal amat penting dalam membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sekali gus meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya di negeri ini.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: George Embie