Majlis Apresiasi ‘Touching Hearts, Shaping Minds’ Hargai Atlet, NGO Serta Rakan Strategik & Sukarelawan Bencana
KUCHING: Majlis Apresiasi ‘Touching Hearts, Shaping Minds’ telah diadakan bagi menghargai atlet para Sarawak, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu orang ramai serta rakan strategi dan sukarelawan bencana yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Rabu.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, majlis ini diadakan bagi meraikan atlet para yang berjaya mengharumkan nama Sarawak sama ada kepada negeri dan negara.
Selain itu katanya, ia juga menghargai NGO, individu serta rakan strategik dan sukarelawan bencana yang bertungkus-lumus membantu pelbagai komuniti tanpa mengira kaum dan agama demi kesejahteraan bersama.
“Jadi untuk itu, bagi pihak Kerajaan Sarawak, kami di kementerian ingin mengucapkan terima kasih kerana menyentuh hati ramai orang Sarawak dan membentuk pemikiran mereka serta membawa perubahan positif dalam kehidupan dan penerimaan mereka.
“Selain itu, membuat mereka memahami bahawa mereka tidak bersendirian serta memahami bahawa kita sebagai orang Sarawak, kita menjaga mereka dan memberi makna kepada kehidupan mereka yang lebih bermaruah dan juga berdigniti,” katanya berucap dalam majlis tersebut yang disempurnakan oleh isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Dalam majlis tersebut, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah bersama Dato Sri Fatimah telah menyampaikan sijil dan plak penghargaan kepada 50 rakan Rakan Strategik Pengurusan Bantuan Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS).
Selain itu, turut disampaikan adalah sijil penghargaan kepada Kontinjen Special Olympics Sarawak kepada enam organisasi iaitu Special Olympics Kuching Chapter, Special Olympics Samarahan Chapter, Special Olympics Sibu Chapter, Special Olympics Bintulu Chapter, Special Olympics Miri Chapter serta Healthy Athletes Programme (HAP).
Manakala, Special Olympics Sarawak turut menerima Piala Juara Keseluruhan Special Olympics Malaysia (SOM) National Games 2026 sebagai kejayaan Kontinjen Special Olympics Sarawak telah muncul sebagai johan keseluruhan SOM 6th National Games – Sarawak 2026 dengan pencapaian sebanyak 176 pingat dengan pecahan 56 pingat emas, 68 pingat perak dan 52 pingat gangsa.
Dalam pada itu, majlis turut disampaikan dua Anugerah Sukarelawan untuk kategori Pertubuhan dan Individu di mana Sarawak Hun Nam Siang Tng mendapat penghargaan untuk kategori pertubuhan atas usaha mengurus rumah kebajikan warga emas serta menyediakan hampir 100 perkhidmatan pengebumian kepada masyarakat yang memerlukan di samping menyalurkan bantuan makanan bulanan kepada lebih 427 keluarga di Sarawak.
Manakala kategori individu pula dianugerahkan kepada Tony Pui Sin Tam di mana beliau aktif menggerakkan Dynasty Hotel Charity Fund tahun sejak 2000, menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan sempena perayaan utama, menganjurkan program Goodies Giveaway Event selama 26 tahun serta menjalinkan kerjasama bersama Kebajikan Miri selama 24 tahun untuk membantu masyarakat. -EDISI UKAS