19 Atlet Para Sarawak Terima Insentif Kemenangan ASEAN Para Games 2025
KUCHING: Seramai 19 atlet Para Sarawak menerima insentif kemenangan berjumlah keseluruhan RM140,200 susulan pencapaian cemerlang mereka pada ASEAN Para Games Korat Thailand 2025 yang berlangsung di Nakhon Ratchasima.
Isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi bersama Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah telah menyempurnakan penyerahan insentif tersebut dalam Majlis Apresiasi ‘Touching Hearts, Shaping Minds’ di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Rabu.
Antara penerima insentif tertinggi ialah atlet renang para, Rusdianto Rusmadi yang membawa pulang dua pingat emas, empat perak dan dua gangsa sekali gus menerima insentif berjumlah RM22,000.
Sementara itu, seorang lagi atlet renang para negara, Muhd Nur Syaiful Zulkafli menerima RM18,000 selepas meraih satu emas, empat perak dan tiga gangsa.
Atlet ping pong para, Gloria Gracia Wong Sze pula menerima RM13,000 hasil kejayaan meraih dua emas dan satu gangsa, manakala atlet tenpin boling para, Abang Yahya Abang Azhar menerima RM12,500 selepas memenangi dua pingat emas.
Selain itu, atlet yang menerima RM10,000 selepas memenangi satu pingat emas ialah Norshazwani Maisara Marzuki, Bibiana Ahmad, Colorine Sijang, Nicodemus Manggoi Moses dan Bonnie Bunyau Gustin.
Turut menerima insentif ialah Marcos Chang Hao Hong sebanyak RM7,000 selepas memenangi satu emas dan satu perak serta Wong Kee Soon yang menerima RM5,000 hasil satu pingat emas.
Sementara itu, Mohd Adib Iqbal Abdullah menerima RM3,000 selepas meraih satu perak dan satu gangsa, manakala Angeline Melissa Lawas menerima RM2,500 hasil satu perak dan satu gangsa.
Atlet lain yang turut menerima insentif ialah Siti Zubaidah Puini dan Bryan Junency Gustin yang masing-masing menerima RM2,000 selepas memenangi satu pingat perak.
Selain itu, Wiro Julin, Tomson Lim Kok Hong dan Catalina Sunti David Diok masing-masing menerima RM1,000 atas pencapaian mereka.
Turut tersenarai ialah wakil bola kerusi roda, Freday Tan yang menerima RM200 selepas membantu pasukan meraih pingat gangsa.
Dalam ucapannya, Dato Sri Fatimah memberitahu, atlet Sarawak telah berjaya meraih 38 pingat, dengan pecahan 13 pingat emas, 14 pingat perak dan 10 pingat gangsa dengan kontinjen Malaysia secara keseluruhan telah berjaya membawa pulang 201 pingat dengan pecahan 64 pingat emas, 64 pingat perak dan 73 pingat gangsa.
“Keseluruhan pencapaian ini hasil usaha gigih, disiplin tinggi dan semangat juang luar biasa para atlet, keberhasilan luar biasa hasil bimbingan, latihan oleh jurulatih,” ujarnya.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Mohammad Razi Sitam dan Datuk Rosey Yunus, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datu Felicia Tan Ya Hui. -EDISI UKAS