Kerajaan Sarawak Perkukuh Usaha Tangani Isu Bekalan Air
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus komited memperkukuh sistem bekalan air di Batu Kitang termasuk menangani isu tekanan air rendah dan gangguan bekalan berpanjangan yang menjejaskan penduduk Kampung Bunga Rampai serta RPR Landeh, Batu 10.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang berkata, isu yang telah lama dihadapi penduduk itu memerlukan penyelesaian menyeluruh bagi memastikan rakyat menikmati akses bekalan air yang lebih stabil dan berterusan.
“Penduduk telah lama berdepan masalah ini. Akses kepada bekalan air adalah keperluan asas dan tidak boleh dibiarkan berlarutan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar semua kelulusan berkaitan projek penyelesaian bekalan air dapat disegerakan supaya kerja-kerja pelaksanaan dapat dimulakan tanpa kelewatan.
Menurut beliau, usaha mempertingkat kemudahan asas termasuk bekalan air dan infrastruktur utiliti amat penting dalam memastikan kesejahteraan serta keselesaan rakyat terus terpelihara.
Dalam masa sama, beliau turut membangkitkan isu kerja pembaikan oleh agensi utiliti yang didakwa sering meninggalkan keadaan jalan tidak sempurna selepas kerja selesai dilaksanakan.
Katanya, keadaan tersebut bukan sahaja menyukarkan pengguna jalan raya malah boleh mengundang risiko keselamatan sekiranya tidak ditangani dengan baik.
Beliau menegaskan setiap kerja pembaikan utiliti perlu disusuli dengan pemulihan jalan secara sempurna termasuk penurapan semula bagi menjamin keselamatan dan keselesaan penduduk setempat. -EDISI UKAS