Projek Pembinaan Tambahan 17 Unit Rumah Guru Dan Kemudahan SMK Agama Igan Siap Awal
IGAN: Projek pembinaan tambahan 17 unit rumah guru dan lain-lain kemudahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Igan siap setahun lebih awal daripada tarikh asal.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, projek ini merupakan inisiatif kerajaan untuk menyediakan kemudahan kediaman dan infrastruktur yang lengkap serta kondusif.
"Ini adalah sejajar dengan keperluan tempat tinggal yang selesa dan selamat kepada penghuni rumah guru," katanya ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Siap Pembinaan Tambahan 17 Unit Rumah Guru dan lain-lain kemudahan SMK Agama Igan di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut katanya, dengan keluasan tapak 13.554 hektar, pembinaan ini juga menyediakan fasiliti tambahan seperti 17 unit kuarters (Kelas F).
Selain itu, kemudahan-kemudahan lain seperti tangki tadahan air hujan, tangki air bertingkat dan tangki sedutan, pemasangan servis elektrikal dan ICT serta pemasangan servis mekanikal.
Di samping itu, turut disediakan skop kerja luar bangunan iaitu tempat letak kereta terbuka, tempat letak kereta berbumbung, 'concrete pavement', sistem saliran, sistem retikulasi air dan sistem pembentungan.
Jelas Dato Sri Alexander, projek pembinaan ini telah dipertanggungjawabkan kepada Pasukan Projek Khas 2 (PPK2) Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia pada tahun 2023 dengan kos kontrak bernilai RM16.39 juta yang mana pelaksanaannya telah dibuat secara reka dan bina.
"Dengan penyerahan projek ini, ia merupakan pencapaian sangat baik bagi penyampaian produk oleh JKR Malaysia dan juga kontraktor.
"Cara kerja sebegini wajar dijadikan contoh dan aspirasi dalam melaksanakan projek-projek yang lain," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pohak kontraktor agar mengekalkan komitmen dan meneruskan tanggungjawab dalam tempoh tanggungan kecacatan (DLP).
Tambahnya, pihak JKR Malaysia akan terus memantau proses-proses pasca penyerahan bangunan supaya tiada perkara tertangguh dan dilaksanakan mengeikut peratura ln telah ditetapkan.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya; Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan dan Pembangunan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Wan Hashim Wan Rahim; Setiausaha Persekutuan Sarawak, Datuk Ahmad Nadzri Mohd Hassan dan Pengarah Pembinaan PPK2 JKR Malaysia, Datuk Ir. Jasmi Wahab. - EDISI UKAS