Pertandingan Kumang Platform Pamer Warisan Kaum Iban
KAPIT: Pertandingan Kumang menjadi platform penting dalam mempamerkan keunikan warisan kebudayaan kaum Iban.
Menteri Kerja Raya Malaysia Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, peserta pertandingan Kumang dan Keling akan memperaga pakaian tradisional masyarakat Iban.
"Ia bukan sekadar pertandingan berpaksikan penampilan atau sama ada peserta itu cantik atau tidak.
"Di sinilah kita mempamerkan 'ngepan' (pakaian tradisional wanita Iban), 'sugu tinggi', hasil kraf tangan dan banyak lagi," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Pengerami Mantar Gawai Dayak Bahagian Kapit 2024 bertempat di Dewan Suarah Kapit, pada Sabtu.
Jelasnya, dalam usaha mempamerkan warisan budaya masyarakat Iban harus menitikberatkan maksud Kumang itu sendiri.
Dalam program yang sama, johan atau gelaran Kumang Gawai Dayak Daerah Kapit 2024 disandang oleh Jessica Ajik David.
Manakala tempat kedua, dengan gelaran 'Lulong' ialah Angelina Rani Gawan dan di tempat yang ke-3 dengan gelaran 'Selingar Matahari' dimenangi oleh Francine Felicia Mandau.
Hadir sama Timbalan Menteri Digital Malaysia Datuk Wilson Ugak Kumbong, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus Wilson Nyabong Ijang, ADUN Baleh Nicholas Kudi Jantai dan Residen Bahagian Kapit Galong Luang. -EDISI UKAS