Pendekatan Komuniti Perlu Diperkasa Bagi Tangani Vandalisme Infrastruktur Telekomunikasi
KUCHING: Pendekatan berasaskan penglibatan komuniti perlu diperkasakan dalam usaha menangani isu vandalisme dan pencerobohan terhadap infrastruktur telekomunikasi yang semakin memberi kesan kepada kelangsungan perkhidmatan internet.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, infrastruktur telekomunikasi kini perlu dilihat sebagai aset strategik negeri memandangkan tahap kebergantungan rakyat terhadap kemudahan digital semakin tinggi.
“Di kawasan seperti N6 Tupong sendiri, kita melihat bagaimana kebergantungan rakyat terhadap internet semakin tinggi. Sebab itu saya menyokong tindakan kerajaan untuk terus memperkukuhkan keselamatan aset telekomunikasi dan mempercepatkan pembaikan kerosakan.
“Pada masa sama, saya ingin mencadangkan agar kesedaran masyarakat dipertingkatkan. Infrastruktur telekomunikasi hari ini sama penting seperti jalan raya dan bekalan air. Kalau paip air dipecahkan orang marah, jadi menara telekomunikasi pun perlu dianggap aset penting negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak semasa Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Khamis.
Sehubungan itu, Dato Fazzrudin mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan program komuniti yang lebih tersusun bagi membantu memantau dan melindungi aset telekomunikasi terutama di kawasan berisiko tinggi.
Menurut beliau, komuniti setempat sering menjadi pihak terawal yang menyedari berlakunya kecurian kabel, kerosakan atau pencerobohan terhadap kemudahan telekomunikasi di kawasan mereka.
Katanya, antara cadangan yang boleh dipertimbangkan termasuk pemberian insentif kepada Jawatankuasa Kampung, Rukun Tetangga dan persatuan penduduk yang terlibat dalam usaha menjaga infrastruktur kerajaan.
Beliau turut mencadangkan penubuhan Pasukan Penjaga Infrastruktur Komuniti (PPIK) yang berdaftar di bawah pejabat daerah dengan sokongan dana khas melalui kerjasama syarikat telekomunikasi.
Selain itu, beliau mencadangkan pembangunan aplikasi aduan khusus yang dilengkapi sistem tindak balas berstruktur.-EDISI UKAS