Pembangunan Infrastruktur Ulu Baram Terus Diperkasa, Masyarakat Kelabit Hargai Komitmen Kerajaan Sarawak
KUCHING: Komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas di kawasan pedalaman terus mendapat penghargaan masyarakat Kelabit di Bario dan Ulu Baram.
Penghargaan itu dizahirkan menerusi kunjungan hormat delegasi seramai 27 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dari Sub-Daerah Bario kepada Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di pejabat beliau di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, pada Khamis.
Delegasi tersebut diketuai Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala bersama Pemanca masyarakat Kelabit Bahagian Miri, Caleena Laleng Sakai dan Presiden Rurum Kelabit Sarawak, Dato Isaac Lugun.
Dalam pertemuan itu, Pemanca Caleena menzahirkan penghargaan kepada Datuk Amar Douglas Uggah atas kepimpinan dan komitmen beliau dalam memacu pembangunan luar bandar khususnya di Bario serta kawasan Ulu Baram.
Menurut beliau, pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan negeri termasuk pembangunan infrastruktur, jaringan jalan raya luar bandar, naik taraf utiliti dan pelaksanaan projek Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) yang telah membawa perubahan besar kepada kualiti hidup penduduk setempat.
Jelasnya, antara pencapaian utama yang diketengahkan ialah penyediaan bekalan elektrik 24 jam, penambahbaikan liputan telekomunikasi dan internet di seluruh rumah panjang masyarakat Kelabit di Bario dan Ulu Limbang, termasuk projek bekalan air bersih yang kini memberi manfaat kepada kebanyakan rumah panjang di kawasan berkenaan.
Delegasi turut merakamkan penghargaan terhadap perjalanan darat sejauh 375 kilometer yang dilakukan Datuk Amar Douglas Uggah dari Miri ke Bario pada tahun 2025 bagi meninjau sendiri keadaan jalan balak di Ulu Baram bersama pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.
Lawatan tersebut disifatkan sebagai langkah penting yang menyumbang kepada keputusan kerajaan Sarawak mengambil alih serta mewartakan jalan balak terbabit sebagai jalan negeri.
Langkah itu sekali gus membolehkan penyelenggaraan dilaksanakan secara lebih sistematik dan teratur demi meningkatkan aksesibiliti, ketersambungan, keselamatan serta keselesaan rakyat di kawasan pedalaman.
Dalam pada itu, delegasi berkenaan turut menyambut baik pelaksanaan kerja menaik taraf jambatan dan pembaikan jalan luar bandar di Ulu Baram, termasuk projek lanjutan landasan STOLport Bario yang diyakini mampu memperkukuh jaringan pengangkutan serta merancakkan pertumbuhan sosioekonomi di utara Sarawak.-EDISI UKAS