Tilawah Al-Quran Bukan Sekadar Pertandingan, Tapi Medan Menyubur Iman
SAMARAHAN: Penyertaan dalam Majlis Tilawah Al-Quran bukanlah semata-mata soal menang atau kalah, sebaliknya merupakan wadah memperkukuh keimanan, memperluas syiar Islam dan meraih keberkatan daripada Allah SWT.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Dato Idris Buang berkata, setiap peserta yang menyertai majlis seperti ini sebenarnya adalah pemenang kerana pulang dengan limpahan pahala dan barakah.
“Tiada yang kalah, semuanya menang insya-Allah. Majlis sebegini bukan sahaja memartabatkan bacaan al-Quran, tetapi mengingatkan kita untuk sentiasa kembali kepada ajaran Islam dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Penutupan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Samarahan yang berlangsung di Masjid Darul Istiqamah, Samarahan pada Ahad.
Dalam pada itu, Dato Idris turut menekankan kepentingan memahami makna bacaan al-Quran dan tidak hanya sekadar membaca.
Beliau juga menggalakkan golongan muda mendalami ilmu al-Quran sebagai benteng kehidupan, panduan dalam membuat keputusan serta jalan menuju kerahmatan dan keselamatan dunia akhirat.
“Al-Fatihah sebagai contoh, kita bacanya setiap hari tetapi kita perlu faham maknanya agar benar-benar dapat menghayati mesej yang ingin disampaikan. Begitu juga dengan ayat-ayat lazim yang lain.
“Bukan kerana hadiah, bukan kerana ganjaran dunia. Tetapi kerana yakin bahawa al-Quran adalah sumber ketenangan, sakinah dan hidayah yang sebenar,” tambahnya.
Majlis turut menyaksikan pengumuman johan bagi kategori Qari dimenangi Ismawi Ibrahim, manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing dimenangi Muhd Hafisz Shafie dan Muhd Syahaziamir Sahmat.
Bagi kategori Qariah, Nadhirah Khaliqah Kasturi dinobatkan sebagai johan, diikuti Manisha Azyan Allilah Azman (naib johan) dan Nurul Sabariah Saini (ketiga).-EDISI UKAS