Perbezaan Harga Diesel Sarawak & Semenanjung Malaysia Wajar, Ambil Kira Kos Logistik
KUCHING: Perbezaan harga diesel antara Sarawak dan Semenanjung Malaysia disifatkan sebagai langkah wajar mengambil kira faktor geografi serta kos logistik yang lebih tinggi di negeri ini.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh berkata, pendekatan tersebut wajar memandangkan Sarawak berdepan cabaran geografi yang luas serta kos pembangunan dan pengedaran yang lebih tinggi.
“Kalau kita lihat, ada yang tidak faham dari segi logistik. Hakikatnya, walaupun ada skim pembangunan kos, barangan di sini masih mahal.
“Kita juga banyak menggunakan diesel kerana Sarawak ini luas dan kebergantungan kepada kenderaan diesel adalah tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai harga diesel di Sabah dan Sarawak yang lebih rendah berbanding Semenanjung selepas menyempurnakan pelepasan LCDA Sapphire Run 1.0 Bersama Komuniti, di Padang Merdeka, di sini, hari ini.
Datuk Len menegaskan, perbezaan harga tersebut merupakan satu langkah yang tepat kerana mengambil kira keperluan sebenar rakyat di negeri ini.
Turut hadir semasa program tersebut ialah Pengurus Besar LCDA, Datu Sr Zaidi Mahdi, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Dato Hilmy Othman, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR) Datu Abdullah Julaihi, Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad, Controller Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) Datu Jack Liam, Pengarah Tanah dan Survei Sarawak Datu Awang Zamhari Awang Mahmood, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), Datu Zainal Abidin Abdullah serta Pengarah DBKU Ramzi Abdillah.-EDISI UKAS