Kehadiran Pelbagai Kaum Meriahkan Aidilfitri Masjid Darul Istiqamah
SIBU: Kehadiran masyarakat berbilang kaum dalam satu majlis mencerminkan keharmonian dan perpaduan yang terus subur di Sibu.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2026 yang diadakan di Masjid Darul Istiqamah, Jalan Sukun pada Sabtu, menjadi contoh terbaik apabila menghimpunkan penduduk setempat dalam suasana penuh mesra.
Menurut beliau, majlis yang berlangsung sederhana itu tetap membawa makna besar apabila masyarakat dari pelbagai latar belakang hadir bersama, berkongsi kegembiraan dan semangat perayaan.
“Bukan sekadar juadah atau kemeriahannya, tetapi kehadiran rakyat tempatan yang datang dari pelbagai latar belakang, berkumpul dalam satu ruang dengan senyuman yang sama.
“Inilah wajah sebenar Malaysia, di mana perayaan bukan milik satu kaum sahaja, tetapi dikongsi bersama sebagai tanda hormat, persahabatan dan kebersamaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong itu, semangat kejiranan dan kekitaan di Sibu amat jelas dirasai melalui interaksi mesra dalam kalangan penduduk.
“Di Sibu, semangat kejiranan dan kekitaan terasa begitu kuat. Dari salam yang dihulur, gelak tawa yang dikongsi, hingga ke layanan mesra yang tidak pernah lekang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dato Sri Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Istiqamah atas jemputan serta sambutan yang diberikan.
“Semoga Aidilfitri ini terus menjadi jambatan yang merapatkan kita semua, tidak kira siapa kita dan dari mana asal kita,” tambahnya.-EDISI UKAS