1,164 Pelajar Terima Beg Sekolah Di SMK St. Anthony Sarikei
SARIKEI: Seramai 1,164 pelajar menerima sumbangan beg sekolah sempena Majlis Penyerahan Bantuan Beg Sekolah DSH yang berlangsung di Dewan SMK St. Anthony Sarikei pada Selasa.
Majlis anjuran SMK St. Anthony itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen P.208 Sarikei dan ADUN Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.
Menurut beliau, bantuan ini adalah sebahagian daripada Program Pembangunan Sahsiah Pelajar yang telah dilaksanakan sejak tahun 2019 bagi membantu pelajar di kawasan luar bandar di mana pada tahun ini seramai 11,000 pelajar menerima bantuan beg, pakaian dan kasut sekolah di kawasan Repok dan Meradong.
Beliau turut berharap sumbangan ini akan memberikan semangat dan keyakinan kepada pelajar untuk meneruskan pembelajaran dengan lebih selesa.
“Saya telah memperkenalkan Program Pembangunan Sahsiah Pelajar untuk memberikan bantuan seperti pakaian seragam, beg, dan kasut sekolah kepada semua pelajar di kawasan Repok sejak tahun 2019 dan Meradong pada tahun 2023.
“Pada tahun ini, jumlah pelajar yang menerima bantuan ini adalah seramai 11,000 orang pelajar. Bantuan ini merupakan salah satu komitmen berterusan saya untuk menjaga kebajikan pelajar di sini.
“Saya juga berharap sumbangan ini dapat memberi motivasi kepada pelajar untuk memulakan sesi persekolahan dengan lebih yakin dan selesa,” katanya semasa berucap.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga SMK St. Anthony atas kejayaan cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum.
Turut hadir, Pengetua SMK St. Anthony Sarikei, Vincent Liong Shou Chuan; Reverend Father Simon Lau, Yang Di Pertua PIBG Normah Edueng serta barisan Exco PIBG.-EDISI UKAS