Gawai Dayak Tampilkan Perpaduan Budaya, Komuniti Bidayuh Semarakkan Malam Khas di MJC Batu Kawa
KUCHING: Sambutan Gawai Dayak di Bazaar Gawai Dayak, Batu Kawa MJC, pada Rabu menyaksikan keunikan dan kekayaan warisan budaya komuniti Bidayuh dalam acara khas “Malam Bidayuh”, yang turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Dalam ucapannya, Dato Sri Roland menzahirkan penghargaan kepada penganjur kerana berjaya menganjurkan bazar tahunan ini sekali lagi di lokasi yang sama, sambil memuji sambutan luar biasa masyarakat pelbagai kaum yang hadir memeriahkan suasana.
“Tahun ini, komuniti Orang Ulu menjadi peneraju sambutan Gawai di bawah naungan Persekutuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) dan mereka telah menampilkan usaha yang sangat membanggakan,” ujar beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, selaku Pengerusi Sambutan Gawai Peringkat Negeri Sarawak yang telah melancarkan Bazar Gawai ini pada 15 Mei lalu.
Bazar tersebut dijadualkan berlangsung sehingga 25 Mei, menampilkan pelbagai aktiviti dan persembahan kebudayaan setiap malam.
Khusus pada 21 Mei, giliran komuniti Bidayuh mengambil pentas, melalui kerjasama Dayak Bidayuh National Association (DBNA), dalam usaha menonjolkan pelbagai tarian tradisional dari sub-etnik Bidayuh seperti Bukar-Sadong dari Serian, Biatah dari Padawan dan Sepuruan, serta Paku dan Selako-Rara dari Lundu.
Malam kebudayaan itu turut disemarakkan dengan persembahan muzik dan nyanyian daripada penyanyi tempatan berbangsa Bidayuh.
“Marilah kita sama-sama menikmati malam ini dengan secawan tuak, atau mungkin langkau sambil menyokong vendor-vendor tempatan kita yang menjual makanan dan kraf tangan,” kata beliau berseloroh, disambut gelak tawa hadirin.
Dato Sri Roland turut mengambil kesempatan mengalu-alukan kehadiran para pelawat dari luar negara yang berada di Kuching sempena perayaan ini, menekankan bahawa Gawai Dayak bukan sahaja pesta menuai, tetapi juga simbol perpaduan, warisan dan kebanggaan masyarakat Dayak keseluruhannya.
Turut hadir, Timbalan-timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Henry Harry Jinep dan Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantaun Projek) Datuk Gerawat Gala, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Martin Ben, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang; ADUN Serembu, Miro Simuh; ADUN Semuja, John Ilus; ADUN Tebedu, Dr Simon Sinang Bada; Presiden DBNA, Datu Ik Pahon Joyik, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Niponi Undek serta tetamu yang lain.-EDISI UKAS