Projek Naik Taraf Jalan SK Ulu Entaih/Rumah Sang, Rantau Chire Ulu Entabai Ditender Suku Ketiga Tahun Ini
KUCHING: Projek Naik Taraf Jalan SK Ulu Entaih/Rumah Sang, Rantau Chire Ulu Entabai yang diluluskan di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) dijangka akan ditender pada suku ketiga tahun 2025.
Menurut Timbalan Menteri Infrastruktur Dan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo, projek tersebut berada di peringkat akhir penyediaan dokumen tender serta sedang melalui proses pengambilan balik tanah.
“Skop kerja bagi projek ini merangkumi kerja-kerja penaiktarafan sepanjang 14 kilometer jalan sedia ada mengikut Spesifikasi Piawaian JKR R1, termasuk pembinaan permukaan jalan berturap (sealed pavement) dan bahu jalan di kedua-dua sisi laluan.
“Selain itu, projek ini turut melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan terhadap dua buah jambatan pendek dan sederhana, serta penggantian tiga jambatan besi sedia ada kepada pembetung (culvert),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Rolland Duat Jubin dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 pada Khamis.
Jelasnya lagi, kos siling projek ini adalah sebanyak RM25 juta, manakala kos anggaran projek ialah RM22 juta sambil menambah lokasi projek telah pun diluluskan dan kini berada di peringkat reka bentuk. -EDISI UKAS