ADUN Tupong Gesa Tindakan Tegas Isu Keselamatan Jalan & Kerosakan Rumah Akibat Projek Pembinaan
KUCHING: Beberapa isu pembangunan di kawasan Tupong, terutamanya yang melibatkan keselamatan jalan raya dan kesan kerja pembinaan perlu diambil perhatian serius oleh pihak berkuasa tempatan.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman menyuarakan kebimbangan terhadap kegiatan pembinaan yang semakin rancak di kawasan itu tetapi membawa risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya.
Menurut beliau, kehadiran kenderaan berat yang membawa keluar masuk tanah dari tapak binaan menyebabkan jalan berlumpur, kotor dan merbahaya, terutamanya kepada penunggang motosikal.
“Saya mencadangkan agar undang-undang digubal dan dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan selari dengan prinsip HSSE, termasuk mewajibkan sistem ‘wash through’ di tapak binaan serta mengenakan denda lebih besar kepada pihak tidak bertanggungjawab,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika Perbahasan Usul Penghargaan Atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19 pada Khamis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong itu turut membangkitkan isu berkaitan kelewatan dan kesan projek sistem pembetungan di Zon A, yang dilaksanakan oleh syarikat antarabangsa Nishimatsu-Hock Seng Lee.
Katanya, walaupun projek tersebut sepatutnya membawa manfaat besar kepada kawasan, pelaksanaannya telah menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk.
“Saya menerima aduan rumah retak dan menurun, malah ada yang tidak boleh didiami lagi.
"Malangnya, tindakan syarikat dan pihak konsultan seolah-olah tidak menunjukkan kesungguhan menyelesaikan isu ini,” katanya.
Tambah beliau, masyarakat setempat bersedia berkorban demi pembangunan, namun pengorbanan tersebut tidak wajar dipandang remeh.-EDISI UKAS