Pertandingan Pickleball Eratkan Silaturahim Warga Kerja Perkhidmatan Awam Sarawak
KUCHING: Pertandingan Pickleball Persahabatan antara OCI Terrasus dan Ketua-Ketua Jabatan Negeri Sarawak (HOD-SCS) yang berlangsung di Pikabol Pending, pada Khamis menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat kesukanan dalam kalangan peserta.
Berlangsung dari 8 malam hingga 11 malam, pertandingan itu menyaksikan penyertaan barisan kepimpinan dan pegawai kanan Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) dalam suasana santai dan penuh kemesraan.
Antara yang mengambil bahagian ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki yang bergandingan dengan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Sarawak, Datu Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan.
Peguam Besar Negeri Sarawak Dato Sri Saferi Ali dan gandingannya Azmi Yusuf turut hadir mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.
Turut menyertai pertandingan ialah Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Dr Cassidy Morris yang bergandingan dengan Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan.
Selain itu, Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datu Adana Jed bergandingan dengan Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Datu Lester Matthew.
Turut beraksi ialah Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MySED), Datu Dzulkornain Masron yang turut menyertai pertandingan bersama Pengarah Pertanian Sarawak, Datu Dominic Chunggat.
Kategori wanita pula menyaksikan penyertaan isteri Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Baduyah Bujang bersama Datin Sri Sharifah Ema Fazila, manakala beberapa pasangan lain turut mengambil bahagian dalam kategori beregu campuran.
Pertandingan persahabatan itu bukan sahaja memberi peluang kepada peserta mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat, malah menjadi wadah memperkukuh hubungan silaturahim serta semangat kerjasama antara sektor korporat dan Perkhidmatan Awam Sarawak.-EDISI UKAS