Sikap Tidak Berputus Asa Pemain Kunci KCFC Tampil Lebih Baik
KUCHING: Sikap tidak berputus asa serta keinginan memburu kejayaan menjadi antara kunci kepada persembahan lebih baik Kuching City FC (KCFC) ketika menentang Phnom Penh Crown FC dalam saingan ASEAN Champions League 2 (ACL2).
Ketua Jurulatih KCFC, Aidil Sharin Sahak berkata, pemain berjaya membuktikan kualiti mereka selepas diberi peluang sekali lagi berdepan Phnom Penh Crown, khususnya selepas kekalahan pada pertemuan terdahulu di Phnom Penh yang menurutnya tidak menggambarkan prestasi sebenar pasukan.
"Saya selalu mengatakan setiap perlawanan itu penting, tidak kira sama ada saingan liga domestik atau kejohanan antarabangsa.
"Apa yang paling penting ialah pemain memahami peluang yang diberikan kepada mereka untuk beraksi sekali lagi menentang Phnom Penh Crown selepas kita tewas di Phnom Penh sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas perlawanan menentang Phnom Penh Crown FC dalam saingan ASEAN Champions League (ACL) 2 di Stadium Taha Ariffin, Petra Jaya, pada Khamis.
Tambahnya, usaha berterusan serta mentaliti pemain yang sentiasa dahagakan kejayaan turut membantu KCFC memberikan tekanan kepada pasukan di kedudukan teratas kumpulan menerusi pungutan mata semasa.
Mengulas peluang KCFC untuk mara ke pusingan seterusnya, Aidil berkata, fokus utama pasukan ketika ini ialah memastikan pemain pulih sepenuhnya sebelum menghadapi perlawanan terakhir menentang Kitchee SC.
Katanya, faktor kecederaan sebelum ini turut mempengaruhi keputusan pasukan, justeru tempoh pemulihan serta persiapan rapi amat penting sebelum berlepas ke Kitchee bagi menyesuaikan diri dengan cuaca dan keadaan di sana.
Beliau menegaskan KCFC perlu kekal berpegang kepada pelan permainan serta memburu kemenangan bagi memastikan peluang untuk mara terus terbuka. -EDISI UKAS