KUCHING: Skuad Kuching City FC (KCFC) menghidupkan kembali peluang dalam saingan Kumpulan H Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) selepas membenam pendahulu kumpulan, Phnom Penh Crown FC, 3-0 di Stadium Taha Ariffin di sini pada Khamis.
The Cats mempamerkan aksi bertenaga dengan Safawi Rasid, Jerome Etame dan Wenzel Halls masing-masing mencatat nama sebagai penjaring dalam kemenangan bergaya yang disaksikan 2,684 penyokong tuan rumah.
Safawi membuka tirai jaringan pada minit ke-32 menerusi penyudah kemas selepas menerima hantaran bijak Ajdin yang berjaya melepasi benteng pertahanan lawan sebelum melorongkan bola kepada pemain sayap itu.
Jaringan tersebut menjadi ganjaran kepada tekanan berterusan KCFC yang menguasai 20 minit pertama perlawanan dengan beberapa percubaan berbahaya, namun gagal menembusi gawang pasukan pelawat.
Memasuki babak kedua, Phnom Penh Crown kendalian Oleg Starynskyi tampil lebih agresif dalam usaha memburu gol penyamaan, namun benteng pertahanan The Cats kekal ampuh mematahkan setiap ancaman.
Safawi hampir menggandakan kelebihan tuan rumah pada minit ke-60, namun percubaan lencongannya ke penjuru kanan gawang sedikit tersasar.
Keceriaan penyokong tuan rumah semakin memuncak pada minit ke-75 apabila pemain gantian, Jerome Etame, hanya memerlukan kurang seminit selepas memasuki padang untuk meledak gol kedua KCFC.
Etame menyempurnakan hantaran Ajdin yang sekali lagi menjadi arkitek serangan The Cats, sekali gus mencatat bantuan jaringan keduanya dalam perlawanan tersebut.
KCFC terus mengasak dan hampir menambah jaringan menerusi Petrus Shitembi pada minit ke-79, namun rembatannya berjaya ditangkap penjaga gol lawan, Um Vichet.
Wenzel Halls kemudian melengkapkan malam gemilang The Cats dengan jaringan ketiga pada minit ke-90 menerusi aksi individu menarik.
Halls lincah memperdaya pertahanan kiri lawan sebelum melepaskan rembatan untuk menewaskan Um Vichet buat kali ketiga selepas menerima hantaran Ahmad Nawaf Israiwah.
Kemenangan penuh bergaya itu bukan sahaja menghadiahkan tiga mata berharga buat The Cats, malah melonjakkan KCFC ke kedudukan kedua Kumpulan H dengan tujuh mata, sekali gus menghidupkan harapan untuk mara ke pusingan seterusnya. -EDISI UKAS