LCDA Raih Dua Anugerah MUPA, Projek Darul Hana Terima Platinum
KUCHING: Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) meraih dua anugerah berprestij pada Malaysian Urban Planning Awards (MUPA), termasuk Anugerah Platinum menerusi Projek Pembangunan Semula Darul Hana, Kuching.
Pengiktirafan itu diberikan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) pada Majlis Makan Malam Gala dan Penyampaian MUPA sempena Persidangan dan Pameran Penilaian Impak Sosial dalam Ekonomi Sedang Pesat Membangun (SIAC2026) yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Khamis.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Pengurus Besar LCDA, Datu Sr. Zaidi Mahdi turut menerima ‘Outstanding Organisational Leadership Award – Promoting Social Impact and Sustainable Development’ sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan beliau dalam memperkasa pembangunan inklusif dan mampan.
Di bawah kepimpinan beliau, LCDA telah melaksanakan sembilan kajian Penilaian Impak Sosial (SIA) bagi projek pembangunan semula bandar dengan memberi penekanan kepada suara, aspirasi serta kesejahteraan sosioekonomi masyarakat sebagai teras perancangan pembangunan.
Selain itu, LCDA turut merangkul ‘Platinum Award for Outstanding Socially Responsible Development (Project Proponent)’, anugerah tertinggi pada majlis berkenaan, menerusi Projek Pembangunan Semula Darul Hana.
Pengiktirafan itu mencerminkan pendekatan LCDA dalam melaksanakan pembangunan yang bukan sahaja mentransformasikan landskap fizikal, malah meningkatkan kehidupan masyarakat melalui kajian SIA yang komprehensif, libat urus komuniti secara berterusan serta pelaksanaan penempatan semula yang sistematik. -EDISI UKAS