Transformasi Mahkamah Anak Negeri Sarawak Tertangguh, Tunggu Kelulusan Dua RUU Penting
KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang giat merancang transformasi Mahkamah Anak Negeri bagi menjadikannya setaraf dengan Mahkamah Sivil dan Syariah.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai bagaimanapun berkata, pelaksanaannya tertangguh sementara menunggu kelulusan dua Rang Undang-Undang (RUU) penting.
“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah mempertimbangkan dan meluluskan Pelan Induk Transformasi Mahkamah Anak Negeri pada Julai 2023.
“Matlamat utama agenda transformasi ini adalah untuk menyusun semula struktur Mahkamah Anak Negeri sedia ada dan seterusnya mengangkat statusnya menjadi sebuah institusi kehakiman yang bebas dan lengkap seperti Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah,” katanya.
Berucap dalam sesi penggulungan kementeriannya di Persidangan DUN Ke-19 pada Isnin, beliau berkata transformasi ini melibatkan tiga fasa dalam tempoh beberapa tahun, bermula dengan penggubalan dan pindaan undang-undang negeri.
“Undang-undang Negeri baharu yang dicadangkan bagi tujuan penyusunan semula ini ialah RUU Mahkamah Anak Negeri yang baharu bagi menggantikan Ordinan Mahkamah Anak Negeri 1992 dan Peraturan Mahkamah Anak Negeri 1993 serta RUU Majlis Pelantikan Hakim Mahkamah Anak Negeri dan Skim Perkhidmatan serta Imbuhan Hakim Mahkamah Anak Negeri berkaitan pelantikan dan skim perkhidmatan bagi Hakim Mahkamah Anak Negeri,” katanya.
Katanya, kedua-dua draf RUU tersebut masih dalam semakan Pejabat Peguam Besar Negeri.
Manakala Mahkamah Anak Negeri akan terus beroperasi mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, katanya.- EDISI UKAS