MIRI: Projek naik taraf Lapangan Terbang Miri kini sedang giat dilaksanakan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan mencatat kemajuan memberangsangkan.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, ini termasuk pembaikan tandas, penggantian eskalator, naik taraf sistem penyaman udara, pembaikan Apron Bay 1 serta pemasangan jambatan udara baharu.
“Lapangan Terbang Miri yang kini mengendalikan lebih dua juta penumpang setahun sejak 2013 mengalami kehausan serius pada kemudahannya kerana usia melebihi dua dekad. Maka, kerja-kerja naik taraf ini amat perlu bagi menjamin keselesaan dan keselamatan pengguna,” kata Lee .
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat pencapaian projek naik taraf Lapangan Terbang Miri di Bilik Mesyuarat Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Miri pada Jumaat.
Tambahnya, sebahagian kerja-kerja telah pun bermula dan dijangka siap antara Julai 2025 hingga Februari 2026.
Beliau turut mencadangkan agar papan tanda jelas dipasang serta kemudahan sementara disediakan untuk keselesaan penumpang, termasuk warga emas dan OKU, sepanjang tempoh penyelenggaraan.
Dalam mesyuarat sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu juga membentangkan beberapa cadangan jangka panjang kepada MAHB seperti pembinaan terminal jet perniagaan, terminal kargo baharu, serta kerja mengecat semula bangunan terminal.
Selain itu, beliau memberitahu, kajian reka bentuk awal untuk pembinaan terminal baharu sedang dijalankan dan dijangka siap pada November 2025.
“Saya gembira kerana semua yang kita mohon kini sedang dilaksanakan dan saya amat berpuas hati dengan kemajuan projek ini.
"Naik taraf ini bukan sahaja memperbaiki kemudahan sedia ada, malah membuka ruang untuk pembangunan lapangan terbang yang lebih besar, sekali gus menjadikan Miri sebagai hab pengangkutan dan pelaburan penting di kawasan Borneo ini,” tegasnya. -EDISI UKAS