ADUN Meradong Adakan Lawatan Pra Gawai, Tinjau Keperluan 20 Rumah Panjang
BINTANGOR: Sempena sambutan perayaan Gawai Dayak yang bakal tiba, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, telah mengadakan Lawatan Pra Gawai ke 20 buah rumah panjang di sekitar kawasan Jalan KJD Bintangor dan Sungai Lemanyong, di sini pada Jumaat.
Lawatan bersama Pusat Khidmat DUN N.46 Meradong itu bertujuan untuk meninjau persiapan komuniti menjelang Gawai, di samping berinteraksi secara langsung dengan penduduk dan meneliti keadaan infrastruktur yang memerlukan perhatian.
Sepanjang sesi lawatan, Datuk Ding berpeluang mendengar secara langsung pelbagai permohonan daripada Tuai Rumah dan penduduk, khususnya yang melibatkan keperluan membaik pulih dan menaik taraf kemudahan asas yang semakin uzur.
Antara isu utama yang dibangkitkan adalah permohonan bantuan di bawah Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (MRP-PPRMS), terutama bagi rumah panjang yang mengalami kerosakan struktur dan tidak lagi selamat untuk didiami dalam jangka masa panjang.
Datuk Ding memberi jaminan bahawa segala maklum balas dan permintaan yang diterima akan dibawa ke perhatian pihak berwajib untuk tindakan susulan.
Dalam masa sama, beliau juga menzahirkan kegembiraannya melihat kepulangan ramai anak perantau ke rumah panjang untuk menyambut Gawai bersama keluarga tercinta, sekali gus menghidupkan semula suasana kemeriahan dan nilai tradisi masyarakat Dayak yang begitu sinonim dengan daerah Meradong.-EDISI UKAS