Kerjasama Komuniti Penting Pastikan Pembangunan Betong Terus Mampan
BETONG: Semangat kerjasama dalam kalangan komuniti setempat terus menjadi tunjang penting dalam memastikan kesejahteraan dan pembangunan kawasan Betong dapat dilaksanakan secara berkesan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, peranan setiap lapisan masyarakat amat diperlukan dalam menyokong usaha pembangunan yang dirancang.
"Mengekalkan kestabilan bukan peranan seorang individu sahaja tetapi peranan bersama semua lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Kesyukuran Penghulu Sebastian Randy Kadam di Rumah Panjang Semumok Atas pada Jumaat.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, hubungan baik antara masyarakat dan pemimpin setempat mampu memperkukuh penyampaian perkhidmatan serta memastikan setiap inisiatif yang dirancang dapat memberi manfaat kepada penduduk.
Dalam pada itu, Datuk Gerald turut menekankan kepentingan penyediaan kertas kerja yang lengkap dan teratur bagi memudahkan permohonan projek prasarana atau infrastruktur.
Katanya, maklumat yang tepat dan menyeluruh akan membantu mempercepatkan proses penilaian serta pelaksanaan projek demi kepentingan bersama.
Selain itu, beliau turut menghargai keprihatinan masyarakat khususnya golongan muda yang semakin peka terhadap pembangunan setempat serta berupaya menyalurkan pandangan secara berhemah.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata, usaha memperkasa pembangunan kawasan terus diperkukuh melalui kerjasama pelbagai pihak.
Menurutnya, pelbagai pendekatan dilaksanakan termasuk mengenal pasti sumber pembiayaan bagi menyokong projek pembangunan serta program peningkatan sosioekonomi penduduk.
Tambah beliau, pihaknya sentiasa terbuka untuk menerima pandangan dan maklum balas masyarakat bagi memastikan setiap keperluan dapat diberi perhatian sewajarnya.-EDISI UKAS