Kejohanan Boling Antara Etnik Pembuka Tirai Gawai Miri, Perkukuh Perpaduan 13 Komuniti
MIRI: Kejohanan Boling Antara Etnik sempena Sambutan Gawai Dayak Bahagian Miri 2026 menjadi platform signifikan dalam memperkukuh perpaduan apabila berjaya menghimpunkan penyertaan melibatkan 13 persatuan etnik di bahagian ini.
Acara yang berlangsung di Megalanes, Bintang Megamall itu turut menandakan pembukaan rasmi sambutan Gawai Dayak ke-20 di Bahagian Miri.
Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang menyifatkan penganjuran kejohanan tersebut yang disifatkan sebagai medium penting dalam merapatkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum dan generasi.
Menurut beliau, penganjuran sukan seperti boling bukan sekadar pertandingan, sebaliknya berperanan sebagai wadah memperkukuh semangat muhibah, kerjasama dan saling menghormati dalam kalangan komuniti.
“Nilai sebenar kejayaan bukan hanya terletak pada kemenangan, tetapi pada hubungan persahabatan yang terjalin serta semangat perpaduan yang dipupuk sepanjang kejohanan,” katanya.
Sebagai tanda sokongan terhadap program komuniti, beliau turut mengumumkan pemberian geran sebanyak RM2,000 serta berharap penganjuran aktiviti seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan.
Kejohanan tersebut menyaksikan penyertaan 16 pasukan mewakili pelbagai persatuan etnik termasuk Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA), Dayak Association Miri (DAM), Persatuan Kayan Sarawak (PKS), Persatuan Kebangsaan Kenyah Sarawak (PKKS), Persatuan Lakiput Sarawak (PLS), Persatuan Bisaya Sarawak Miri (PBSM), Persatuan Berawan Sarawak (PBS) serta Persatuan Masyarakat Saban Sarawak (PMSS), selain wakil Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Pampang Miri.
Turut hadir, Pengerusi Penganjur Sambutan Gawai Bahagian Miri 2026 merangkap Pengerusi DBNA Cawangan Miri Simon Ilus, Pengerusi Penganjur Kejohanan Boling Wilson Tigus serta wakil Jabatan Tanah dan Survei Superintenden Anthony Aboi. -EDISI UKAS