Isu Sampah Luar Bandar Terus Cemari Sungai, Tuntut Tindakan Bersama
BAU: Isu pencemaran sungai akibat pembuangan sampah dari kawasan luar bandar terus menjadi cabaran utama yang memerlukan kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan dan masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut), Datuk Henry Harry Jinep berkata kekangan infrastruktur terutama di kawasan rumah panjang menyukarkan urusan kutipan sampah, sekali gus mendorong sebahagian penduduk mengambil jalan mudah dengan membuang sisa ke sungai.
“Di kawasan luar bandar, khususnya penempatan rumah panjang yang jauh dan mempunyai jalan kecil, lori sampah tidak dapat masuk. Ini menyebabkan ada yang membuang sampah ke sungai.
“Kalau sampah itu tidak dikutip di peringkat awal, ia akan mengalir ke sungai dan akhirnya menjadi masalah lebih besar, termasuk mencemarkan kawasan hilir serta menjejaskan imej persekitaran,”katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas merasmikan Bung Bratak Day 2026, di Kampung Tembawang Sauh, Bau pada Jumaat.
Menurut beliau, pengurusan sisa di kawasan luar bandar perlu dilihat secara menyeluruh, melibatkan pembahagian tanggungjawab antara pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan sungai.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa kerajaan telah melaksanakan kontrak pembersihan secara berkala bagi memastikan sungai-sungai utama kekal bersih, terutama yang menjadi tarikan pelancongan.
“Jika sampah berada di dalam kawasan parit, ia di bawah bidang kuasa pihak majlis. Tetapi apabila ia memasuki sungai, ia menjadi tanggungjawab agensi berkaitan sungai untuk membersihkannya.
“Sungai Sarawak sentiasa diberi perhatian kerana ia merupakan salah satu tarikan utama pelancong. Kita juga ada kontrak untuk membersihkan sampah terapung supaya tidak menjejaskan keindahan kawasan tersebut,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa penyelesaian jangka panjang memerlukan perubahan sikap masyarakat di samping penambahbaikan sistem pengurusan sisa di kawasan luar bandar bagi memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara.-EDISI UKAS