Bung Bratak Day 2026 Platform Promosi Budaya Bidayuh, Tarik Pelancong
BAU: Penganjuran Bung Bratak Day 2026 terus menjadi platform penting dalam mempromosikan warisan budaya masyarakat Bidayuh serta menarik kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut), Datuk Henry Harry Jinep berkata acara tersebut bukan sahaja mengangkat identiti budaya tempatan, malah membuka ruang kepada pertumbuhan sektor pelancongan di kawasan berkenaan.
“Program seperti ini memberi peluang kepada masyarakat luar untuk mengenali budaya Bidayuh dengan lebih dekat, di samping menarik pelancong datang ke kawasan ini.
“Dengan kehadiran pengunjung yang semakin meningkat setiap tahun, ia secara tidak langsung membantu menjana ekonomi komuniti setempat melalui pelbagai aktiviti yang dianjurkan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas merasmikan Bung Bratak Day 2026, di Kampung Tembawang Sauh, Bau pada Jumaat.
Menurut beliau, kawasan Bung Bratak mempunyai potensi besar sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi, termasuk aktiviti pendakian yang semakin mendapat sambutan dalam kalangan pengunjung.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pelbagai acara menarik telah dirancang sepanjang penganjuran festival berkenaan termasuk persembahan artis tempatan dan program kebudayaan.
“Kita menggalakkan aktiviti seperti hiking kerana ia sesuai dengan keadaan muka bumi di sini dan pada masa sama dapat mengekalkan keaslian alam sekitar,” ujar beliau.
Jelas beliau lagi, usaha berterusan dalam mempromosikan Bung Bratak sebagai destinasi pelancongan mampu meningkatkan lagi daya tarikan kawasan tersebut sekali gus meletakkannya sebagai antara lokasi pelancongan berpotensi di Sarawak.-EDISI UKAS