Peruntukan RM1 Juta Perkukuh Infrastruktur Bung Bratak Heritage Centre
BAU: Peruntukan sebanyak RM1 juta bagi menaik taraf infrastruktur Bung Bratak Heritage Centre dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkasa pemeliharaan warisan budaya masyarakat Bidayuh serta merancakkan pembangunan eko-pelancongan di kawasan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, peruntukan yang disalurkan menerusi Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) itu merangkumi penyediaan bekalan elektrik bagi meningkatkan kemudahan dan keupayaan operasi pusat berkenaan.
Menurut beliau, penyediaan bekalan elektrik 24 jam akan membuka lebih banyak peluang penganjuran aktiviti melibatkan komuniti, agensi kerajaan serta sektor swasta.
“Dengan adanya kemudahan ini, Bung Bratak berpotensi untuk berkembang sebagai pusat warisan dan pelancongan yang lebih dinamik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Bung Bratak 2026 yang berlangsung di Bung Bratak Heritage Centre, Kampung Tembawang Sauh, pada Jumaat.
Sambutan yang dianjurkan oleh Persatuan Bung Bratak itu menarik kehadiran kira-kira 1,000 pengunjung dan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Datuk Henry Harry Jinep.
Turut hadir, ADUN Serembu, Dato Miro Simuh bersama pemimpin masyarakat serta ketua jabatan.
Mengulas lanjut, Billy Sujang berkata sambutan tersebut bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi simbol identiti serta kebanggaan masyarakat Bidayuh yang mengimbau sejarah penghijrahan dan penempatan awal nenek moyang di Bung Bratak.
Sementara itu, Datuk Henry Harry Jinep dalam ucapan menegaskan bahawa Bung Bratak merupakan lambang jati diri, ketahanan dan perpaduan masyarakat Bidayuh yang perlu terus dipelihara.
Beliau berkata, usaha memperkukuh kemudahan di kawasan tersebut selari dengan aspirasi pembangunan negeri yang menitikberatkan pemeliharaan warisan serta pembangunan pelancongan secara lestari.
“Bung Bratak ini menceritakan kisah nenek moyang kita, perjalanan mereka, cabaran yang ditempuhi serta nilai-nilai yang diwariskan,” ujarnya.
Tambah beliau, Bung Bratak kini semakin dikenali sebagai destinasi eko-pelancongan dan warisan yang berpotensi besar untuk terus dibangunkan.
Pelbagai pengisian turut diadakan sepanjang sambutan tersebut termasuk persembahan kebudayaan, penyediaan makanan tradisional serta aktiviti pendakian ke puncak Bung Bratak yang menjadi tarikan utama pengunjung. - EDISI UKAS