Projek Jambatan Batang Paloh Catat Kemajuan Fizikal 76.92 Peratus
SEMOP: Projek pembinaan Jambatan Batang Paloh yang bernilai kira-kira RM298.494 juta kini mencatat kemajuan fizikal sebanyak 76.92 peratus.
Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sarawak, Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata, kemajuan pembinaan itu mengalami kelewatan selama 97 hari daripada jadual asal berbanding sasaran asal 86.39 peratus.
Bagaimanapun jelasnya, kelewatan tersebut sedang ditangani dengan beberapa langkah pemulihan yang telah mula dilaksanakan oleh pihak kontraktor.
"Projek ini bukan sahaja akan mempercepatkan akses perhubungan antara kawasan pedalaman dan bandar, malah mampu menjana pelbagai peluang ekonomi baharu kepada penduduk tempatan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa membuat lawatan kerja rasmi ke tapak projek jambatan berkenaan bersama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol, pada Selasa.
Untuk rekod, tarikh siap asal jambatan berkenaan adalah pada 15 Januari 2026, namun selepas lanjutan masa yang diluluskan (EOT No.10), tarikh baharu jangkaan siap ditetapkan pada 12 September 2026.
Dalam pada itu, Datuk Abdullah Saidol menyatakan bahawa projek ini amat dinanti-nantikan oleh masyarakat setempat kerana ia dijangka mengubah landskap kehidupan harian mereka secara menyeluruh.
“Dengan siapnya jambatan ini nanti, ia akan menjimatkan masa perjalanan dan membuka peluang ekonomi lebih luas kepada masyarakat, termasuk dalam sektor pelancongan, pertanian dan perusahaan kecil,” jelas beliau.
Lawatan turut disertai dengan sesi taklimat teknikal oleh pihak kontraktor serta tinjauan ke beberapa struktur utama projek bagi menilai status kemajuan kerja secara lebih dekat.-EDISI UKAS