KUCHING: Sarawak sekali lagi menjadi tuan rumah acara bertaraf antarabangsa menerusi ‘Sarawak International Choral Festival & Symposium’ (SIC Fest) 2025 yang menyatukan peserta dari pelbagai negara dan latar budaya menerusi keindahan muzik koral.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan menyifatkan festival tersebut bukan sekadar sebuah acara hiburan, tetapi sebagai simbol kekuatan Sarawak dalam menghubungkan masyarakat global melalui kuasa muzik.
“Ia merupakan satu perayaan kesatuan melalui nyanyian, sebuah platform untuk pertukaran budaya, dan ruang untuk pembelajaran, inspirasi serta kerjasama.
"Festival ini juga mengangkat kekuatan muzik dalam menyatukan kita tanpa mengira bahasa, sempadan dan latar belakang.
" Pengisian simposium pula memberi peluang kepada konduktor, pendidik dan penyanyi untuk memperdalam kemahiran mereka melalui bengkel, kelas dan sesi dialog,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Festival dan Simposium Koir Antarabangsa Sarawak 2025, yang diadakan di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), di sini, pada Jumaat.
Festival kali ini akan menampilkan pelbagai acara termasuk pertandingan koir mengikut kategori, bengkel profesional, konsert di sekitar Kuching, dan acara kemuncak iaitu Grand Prix Finals serta majlis penutup yang semestinya amat dinanti-nantikan.
Antara persembahan istimewa yang dinantikan termasuk daripada Koir Kanak-kanak Sarawak, kumpulan muda PUSAK serta kumpulan antarabangsa dari Jerman iaitu Kinderchor der Staatsoper Unter den Linden.
Datuk Snowdan dalam pada itu berharap SIC Fest 2025 akan menjadi satu pengalaman yang menginspirasi, menggembirakan dan kekal dalam ingatan para peserta yang terlibat.
“Marilah kita terus membina ‘jambatan’ melalui muzik dan semoga festival ini menjadi satu perayaan keharmonian, bukan sahaja dari segi bunyi, tetapi juga dalam semangat,” ujarnya lagi.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Julin Alen, Ketua Pegawai Eksekutif Business Events Sarawak (BESarawak) Amelia Roziman, Pengerusi ‘Kuching Choral Society’ Benedict Lo dan Pengarah Artistik SIC Fest 2025 Susanna Saw. -EDISI UKAS