‘Ringgo Rayo’ Tonjol Budaya Tempatan Dalam Sambutan Aidilfitri Batang Lupar
PUSA: Keunikan budaya tempatan terus diberi perhatian apabila konsep “Ringgo Rayo” diketengahkan dalam Majlis Santunan Mesra Aidilfitri 2026 peringkat Parlimen Batang Lupar yang berlangsung di Dewan Masyarakat Kampung Maludam, pada Ahad.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, pengenalan tema berkenaan mencerminkan identiti komuniti setempat yang perlu dihargai dan dipertahankan.
Menurutnya, usaha mengekalkan warisan budaya seperti “Ringgo Rayo” mampu mengukuhkan jati diri masyarakat di samping merapatkan hubungan antara generasi.
“Budaya ini bukan sekadar tradisi, tetapi lambang kebersamaan yang menyatukan masyarakat pelbagai latar belakang dalam suasana harmoni,” katanya semasa berucap dalam program tersebut.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyertaan masyarakat berbilang kaum yang bersama-sama meraikan Aidilfitri, sekali gus membuktikan budaya tempatan mampu menjadi jambatan perpaduan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor menekankan kepentingan menjadikan sambutan perayaan sebagai medium memperkukuh silaturahim serta menyemai nilai murni dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, bulan Syawal perlu dimanfaatkan untuk mengeratkan hubungan melalui amalan kunjung-mengunjung serta saling bermaafan.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis tersebut, sambil menyifatkan kerjasama erat antara komuniti sebagai kunci kepada keharmonian yang dikecapi hari ini.-EDISI UKAS