PALOH: Masyarakat pelbagai kaum di Sarawak diseru agar terus mengekalkan perpaduan dan keharmonian serta mengelakkan sebarang bentuk provokasi yang boleh mencetuskan salah faham dan perasaan kecil hati dalam kalangan rakyat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, sambutan perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri merupakan platform terbaik untuk mengeratkan hubungan antara kaum dalam suasana muhibbah dan saling menghormati.
Beliau berkata, tanpa perpaduan, kerjasama serta sokongan padu daripada rakyat, usaha pembangunan tidak dapat dilaksanakan dengan lancar, sekali gus menjejaskan kesejahteraan komuniti setempat.
“Ketika ini, pelbagai projek pembangunan sedang giat dilaksanakan termasuk Projek Jambatan Batang Paloh yang bakal menjadi nadi perhubungan darat utama apabila siap kelak, khususnya bagi kawasan Pulau Bruit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri DUN Semop yang berlangsung di Kampung Sebako dan Kampung Sedi, di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu menambah, projek tersebut dijangka memberi manfaat besar kepada sekurang-kurangnya 13 kampung termasuk satu penempatan baharu, RGC Semop serta sebuah rumah panjang, khususnya dari aspek sosial dan ekonomi.
Dalam pada itu, Datuk Abdullah turut berkongsi bahawa beliau masih mengingati pesanan seorang bekas ketua kampung ketika awal penglibatannya sebagai wakil rakyat yang menekankan keperluan asas seperti bekalan air, jalan raya dan telekomunikasi.
Katanya, pesanan tersebut menjadi inspirasi berterusan dalam usaha beliau memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan DUN Semop.
Turut hadir, Ahli Parlimen Tanjong Manis Dato Ir Yusuf Abd Wahab.-EDISI UKAS