Pidato & Kaligrafi Bahasa Cina Cungkil Bakat Muda Sarikei
SARIKEI: Pertandingan Pidato dan Kaligrafi Bahasa Cina Peringkat Bahagian Sarikei Tahun 2025 berjaya mencungkil bakat serta semangat jati diri dalam kalangan murid dan pelajar sekolah sekitar Sarikei.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei Dato’ Sri Huang Tiong Sii, merakamkan ucapan tahniah kepada semua peserta yang telah menunjukkan prestasi membanggakan dan kreativiti tinggi sepanjang pertandingan berlangsung.
“Saya amat terharu melihat bakat-bakat muda yang bukan sahaja fasih dalam Bahasa Cina, malah mampu menonjolkan keindahan budaya melalui pidato dan kaligrafi.
“Pertandingan ini bukan sahaja mencungkil potensi pelajar, malah mengukuhkan jati diri mereka dalam masyarakat berbilang kaum,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap daam majlis perasmian penutupan pertandingan berkenaan di SMK Tinggi Sarikei pada Sabtu.
Dato’ Sri Huang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok itu turut menghargai komitmen para guru dan ibu bapa yang gigih mendidik generasi muda untuk menghargai bahasa ibunda dan mewarisi nilai-nilai budaya yang tinggi.
Beliau turut menyeru agar pelajar terus berusaha, menimba ilmu dan menjadi generasi pelapis yang akan menerajui negara pada masa hadapan.
Difahamkan, pertandingan ini juga berperanan sebagai platform pemilihan wakil Sarikei ke peringkat negeri, selain memberi peluang kepada peserta untuk mengekspresikan kreativiti dan minat mereka dalam bidang bahasa dan seni kaligrafi.
Sebagai tanda sokongan kepada pembangunan pendidikan Bahasa Cina, Dato’ Sri Huang mengumumkan sumbangan sebanyak RM10,000 bagi menyokong penganjuran program seumpama ini pada masa akan datang.
Hadir sama ialah Pengerusi Persatuan Lembaga Bersatu Pengurusan Sekolah Rendah Cina Bantuan Bahagian Sarikei Sarawak Sia Sie Ong, wakil Pegawai Pedidikan Daerah Sarikei Tang Ai Ling, Pengerusi Persatuan Guru-guru Sekolah Rendah Aliran Cina Meradong Chiew Hua Kin, dan Pengerusi Persatuan Guru Besar Malaysia Daerah Sarikei Kho Tai Chai. - EDISI UKAS