Dana RM300,000 Naik Taraf Sistem Saliran Di SMK Chung Hua Miri
MIRI: Bagi menangani masalah banjir kilat yang sering berlaku di kawasan sekolah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua Miri bakal menerima peruntukan sebanyak RM300,000 menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026.
Peruntukan tersebut diumumkan oleh Timbalan Menteri Pelancongan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan disampaikan melalui pegawai beliau, Chia Kar Furng dalam satu sesi lawatan tapak bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Miri di sekolah berkenaan, pada Isnin.
Menurut Chia, lawatan tersebut bertujuan meninjau keadaan sebenar sistem saliran di sekolah serta mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak pengurusan sekolah berhubung cabaran yang dihadapi.
Tinjauan turut disertai oleh jurutera JKR Miri dan Pengetua SMK Chung Hua, Lai Jia Ling.
Difahamkan, sekolah yang terletak di kawasan tanah rendah dan berbukit ini kerap dilanda banjir kilat setiap kali hujan lebat.
Sehubungan itu, menerusi peruntukan RTP 2026 tersebut, kerja-kerja menaik taraf saliran akan memberi tumpuan kepada kawasan belakang sekolah yang menjadi laluan utama air mengalir.
Antara kerja yang dicadangkan termasuk pembentukan semula kecerunan, pembesaran kapasiti saliran dan penstabilan lapisan tanah bagi mengelakkan masalah mendapan lumpur dan hakisan.-EDISI UKAS