Wong Ajong, Batu Nabau Berpotensi Jadi Tarikan Pelancongan Baharu Di Engkilili
ENGKILILI: Dua lokasi alam semula jadi di kawasan ini, iaitu Air Terjun Wong Ajong dan Batu Nabau, berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan baharu yang mampu merancakkan ekonomi setempat.
Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh telah mengadakan lawatan singkat ke kedua-dua lokasi tersebut baru-baru ini bagi meninjau potensi pembangunan sektor pelancongan di kawasan berkenaan.
Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Engkilili Edwin Mat bersama kakitangan dari Pejabat Daerah Kecil Engkilili dan Pejabat Residen Bahagian Sri Aman.
Batu Nabau, yang terletak tidak jauh dari Pekan Engkilili, menarik perhatian kerana keunikannya yang menyerupai bentuk ular.
Ciri istimewa ini menjadikan lokasi tersebut berpotensi besar untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan yang unik dan berdaya saing, khususnya bagi menarik pelancong yang berminat terhadap elemen geologi dan cerita rakyat tempatan.
Sementara itu, Air Terjun Wong Ajong pula terkenal sebagai lokasi rekreasi yang digemari ramai, terutamanya pada musim panas.
Air sungainya yang sejuk dan jernih serta persekitaran semula jadi yang kaya dengan flora dan fauna memberikan pengalaman menyegarkan kepada pengunjung.
Keindahan alam ini dilihat berpotensi tinggi untuk dijadikan tapak ekspo pelancongan dan aktiviti eko-pelancongan yang boleh menjana pendapatan penduduk setempat. - EDISI UKAS