MIRI: Setelah hampir satu dekad terbengkalai, projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tudan kini kembali dilaksanakan semula dan dijangka beroperasi pada Jun 2026.
Perkembangan ini membawa sinar harapan kepada ribuan pelajar dan ibu bapa di sekitar kawasan Permyjaya, Vista Perdana, Desa Senadin, Tudan Jaya dan Lutong yang selama ini menanti sebuah sekolah baharu yang mampu menampung peningkatan jumlah pelajar yang pesat.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, tender baharu telah diberikan kepada kontraktor pada Mac lalu dengan kos keseluruhan RM11.47 juta.
Jelasnya, projek pembinaan semula bermula secara rasmi pada 28 Mac 2025 dan dijangka siap sepenuhnya pada 27 Mac 2026.
"Setakat ini, kemajuan fizikal telah mencapai 4.6 peratus manakala kemajuan kewangan berada pada tahap 9.77 peratus, iaitu lebih awal daripada jadual asal.
“Ramai ibu bapa telah bertanya bila sekolah ini boleh digunakan. Hari ini kita nampak sinar harapan yang ditunggu-tunggu. Sekolah ini sangat penting bagi kawasan yang sedang membangun pesat seperti Permyjaya dan Tudan,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan tapak ke SMK Tudan bersama pegawai kanan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak pada Rabu.
SMK Tudan akan dibina dengan kapasiti menampung 1,260 pelajar dengan 35 bilik darjah dan hanya akan beroperasi dalam satu sesi pagi sahaja, sekali gus menjanjikan suasana pembelajaran yang lebih kondusif dan selesa.
Sekolah ini dijangka mampu mengurangkan kepadatan pelajar di sekolah-sekolah berhampiran seperti SMK Merbau, SMK Pujut dan SMK Lutong yang kini menampung lebih 2,800 hingga 3,000 pelajar setiap satu.-EDISI UKAS