MPP Anjur Program Keselamatan Kebakaran Untuk Peniaga
KOTA PADAWAN: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) terus memperkukuhkan aspek keselamatan komuniti perniagaan apabila menganjurkan Program Keselamatan Kebakaran Premis Perniagaan di kawasan pentadbirannya yang berlangsung di Bilik Latihan MPP, di sini, pada Sabtu.
Pengerusi MPP Kaunselor Tan Kai menegaskan, keselamatan kebakaran bukan sahaja penting bagi melindungi harta benda, malah turut melibatkan keselamatan nyawa serta kelangsungan operasi perniagaan.
Menurut beliau, program berkenaan bertujuan memberikan pendidikan dan pendedahan berkaitan langkah pencegahan kebakaran selain meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti peniaga mengenai tindakan awal yang perlu diambil sekiranya berlaku kecemasan.
“Premis perniagaan merupakan antara lokasi yang sering dikunjungi orang ramai setiap hari. Oleh itu, aspek keselamatan perlu diberi perhatian serius bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya ketika berucap pada majlis penutup program tersebut.
Katanya, pihak MPP sentiasa komited dalam melaksanakan pelbagai program keselamatan kebakaran setiap tahun demi memastikan kesejahteraan masyarakat setempat terus terpelihara
Beliau turut menyeru semua pemilik premis agar sentiasa memastikan sistem pendawaian elektrik berada dalam keadaan selamat, menyediakan alat pemadam api mencukupi serta memastikan laluan kecemasan tidak dihalang.
Dalam program itu, para peserta turut mengikuti ceramah berkaitan proses permohonan surat sokongan pendaftaran perniagaan serta penerangan mengenai Sarawak Building Ordinance 1994 yang disampaikan oleh Bahagian Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Bandar serta Bahagian Perancangan dan Pembangunan MPP.
Selain itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut mengadakan demonstrasi keselamatan kebakaran bagi memberi pendedahan praktikal kepada peserta mengenai langkah pencegahan dan tindakan kecemasan yang betul. -EDISI UKAS