Isu Liputan Internet Lemah Di Samarahan Perlu Perhatian, Pastikan Golongan Belia Tidak Tercicir Pembangunan Digital
ASAJAYA: Isu liputan internet lemah di kawasan Asajaya dan sekitar Samarahan perlu diberi perhatian serius bagi memastikan golongan belia luar bandar tidak tercicir dalam arus pembangunan digital.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kawasan Asajaya dan Samarahan terletak berhampiran bandar raya Kuching dan tidak sepatutnya terus berdepan masalah capaian internet yang menjejaskan urusan harian masyarakat termasuk sektor pendidikan dan perniagaan.
"Kemudahan internet pada masa kini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan asas penting khususnya kepada generasi muda yang bergantung kepada teknologi untuk pembelajaran, komunikasi serta pembangunan ekonomi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program BeliaGoBiz Samarahan@Asajaya 2026 di Kompleks Sukan Asajaya pada Sabtu.
Beliau turut mendedahkan terdapat kawasan yang masih mengalami kesukaran untuk melaksanakan urusan pembayaran digital termasuk di stesen minyak akibat capaian internet yang tidak stabil.
Sehubungan itu, beliau mahu syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi serta kementerian berkaitan mengambil tindakan segera bagi meningkatkan tahap capaian internet di kawasan luar bandar sekitar Samarahan dan Asajaya.
"Saya akan terus bangkitkan perkara ini dan memastikan isu konektivit ini diperbaiki. Kita mahu belia dan masyarakat di kawasan luar bandar mendapat kemudahan sama seperti di bandar,” tegasnya.
Tambahnya, pembangunan infrastruktur digital amat penting dalam usaha melahirkan generasi muda berilmu, berdaya saing dan mampu memanfaatkan peluang ekonomi baharu pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim memberitahu, pembangunan pesat yang bakal berlaku di kawasan Samarahan memerlukan tenaga kerja mahir dan generasi muda tempatan perlu bersedia mengisi peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan.
Jelasnya, ini memerlukan anak-anak luar bandar mempunyai visi lebih besar dan berani bersaing dalam pelbagai bidang termasuk teknologi, keusahawanan dan sektor profesional. -EDISI UKAS