ASAJAYA: Pembangunan belia perlu diberi perhatian serius kerana golongan itu merupakan aset dan pewaris kepimpinan negeri pada masa hadapan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerajaan Sarawak komited membangunkan modal insan berkualiti menerusi pelbagai dasar dan program pembangunan pendidikan serta keusahawanan bagi memastikan generasi muda luar bandar mampu bersaing dan mencapai kejayaan lebih besar.
Menurut beliau, program seperti BeliaGoBiz menjadi platform penting untuk memperkukuh jati diri, memperluas wawasan dan membentuk semangat kepimpinan dalam kalangan belia.
“Kita mahu melihat anak-anak muda luar bandar mempunyai impian besar, berani mencabar diri dan mampu menjadi pemimpin, profesional serta usahawan berjaya pada masa akan datang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program BeliaGoBiz Samarahan@Asajaya 2026 di Kompleks Sukan Asajaya pada Sabtu.
Tambahnya, pembangunan negeri pasca COVID-19 melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) memerlukan penyertaan aktif golongan belia dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan, teknologi, keusahawanan dan ekonomi baharu.
Sementara itu dalam ucapan aluan, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Dr Ripin Lamat berkata, BeliaGoBiz merupakan antara inisiatif kementerian yang direka semula dengan pendekatan lebih santai dan interaktif bagi menarik minat golongan belia terhadap bidang keusahawanan.
Selain itu jelasnya, kementerian turut melaksanakan beberapa inisiatif lain termasuk Sarawak Youth Startup, Sarawak Youth Business Idea Competition (SYBIC), Youth Entrepreneurship Setup dan Youth Escape bagi memberi pendedahan lebih meluas kepada belia dalam bidang perniagaan, industri kreatif dan sektor agro berasaskan keselamatan makanan.
“Program seperti ini bukan sahaja membuka ruang dan minda golongan muda, malah memberi peluang kepada agensi kerajaan berkongsi maklumat serta membimbing belia agar lebih bersedia menceburi bidang keusahawanan dan ekonomi masa depan,” katanya. -EDISI UKAS