MARA, UNIMAS Perkukuh Pembangunan Usahawan Muda Melalui Program NEXTGENBIZ
KOTA SAMARAHAN: Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus mempergiat usaha memperkasa pembangunan keusahawanan dalam kalangan mahasiswa menerusi pelaksanaan Program NEXTGENBIZ IPTA & IPTS yang dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara.
Di Sarawak, program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama strategik Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan berlangsung di Dewan Kristal, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA), UNIMAS, Kota Samarahan pada Sabtu.
Inisiatif tersebut bertujuan memupuk minat serta meningkatkan potensi keusahawanan mahasiswa melalui pendedahan kepada ilmu perniagaan, landskap ekonomi semasa dan cabaran dunia keusahawanan yang semakin kompetitif.
Penganjuran kali ini melibatkan penyertaan mahasiswa daripada beberapa institusi pengajian tinggi termasuk UNIMAS, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan SarawakSkills.
Sebelum ini, Program NEXTGENBIZ turut diadakan di TVETMARA Kuching dengan penyertaan pelajar daripada pelbagai institusi pendidikan MARA di negeri ini sebagai sebahagian daripada usaha memperluas ekosistem pembangunan usahawan muda Bumiputera.
MARA komited menyediakan platform pembangunan keusahawanan yang relevan dan berimpak tinggi bagi melahirkan generasi belia yang berdaya saing, inovatif serta berupaya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Infrastruktur Komersil MARA, Mimi Mazlin Mohamad Yusof; Pengarah Pusat Keusahawanan UNIMAS, Assoc. Prof. Ir. Ts. Dr. Siti Kudnie Sahari; serta Pengarah MARA Negeri Sarawak, Timelow Jauk. - EDISI UKAS