RM268,600 Disalur Perkukuh Pendidikan Luar Bandar Di Spaoh
SPAOH: Sebanyak RM268,600 disalurkan kepada Persatuan Tiong Hua Spaoh dan lapan sekolah di kawasan Spaoh bagi memperkukuh pembangunan pendidikan luar bandar termasuk meningkatkan kemudahan pembelajaran, program ICT dan STEM serta pembangunan modal insan pelajar.
Sumbangan tersebut disampaikan Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II serta Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam Majlis Ringkas Penyerahan Cek di PAWE Bukit Saban, pada Sabtu.
Penyaluran bantuan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif PACU (Pembangunan Infrastruktur Sekolah) dalam usaha memperkasa sektor pendidikan khususnya di kawasan luar bandar.
Antara penerima sumbangan ialah Persatuan Tiong Hua Spaoh serta lapan sekolah iaitu SK Penom, SK Paku Central, SK Suri, SJK(C) Chung Hua Spaoh, SK St. John Nanga Tiga, SK Nanga Gayau, SK Spaoh dan SMK Spaoh.
Daripada jumlah keseluruhan tersebut, sebanyak RM70,000 diperuntukkan khusus bagi penyediaan buku kepada tujuh buah sekolah rendah sebagai usaha memperkukuh bahan pembelajaran murid.
Guru Besar SK Nanga Gayau, Stanley Matthew Kalong Dandan berkata, sumbangan tersebut akan dimanfaatkan bagi pelaksanaan program berkaitan ICT dan STEM dalam usaha memperkembangkan potensi murid serta guru.
Menurut beliau, bantuan tersebut turut membantu meningkatkan tahap kesiapsiagaan murid dalam mendepani cabaran dunia moden berasaskan teknologi.
Sementara itu, Guru Besar SK Spaoh, Edie Rahmat Salleh menyifatkan sumbangan berkenaan sebagai sokongan penting dalam memperkukuh sumber sedia ada sekolah termasuk pembiayaan aktiviti sukan, kokurikulum dan pembangunan murid.
Katanya, bantuan tersebut membolehkan pihak sekolah merancang lebih banyak program pembangunan pelajar secara menyeluruh.
Inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pembangunan pendidikan luar bandar ke arah melahirkan modal insan yang lebih holistik, kompetitif dan berdaya saing.-EDISI UKAS