Kepelbagaian Budaya & Perayaan Agama Cerminan Keunikan Sarawak
ASAJAYA: Kepelbagaian budaya dan perayaan agama yang diraikan oleh pelbagai kaum di Sarawak merupakan satu keunikan yang wajar dipelihara dan dijadikan asas kepada keharmonian dan kemakmuran negeri ini.
Demikian ditegaskan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah semasa berucap pada Majlis Ngiling Tikai Peringkat Daerah Asajaya 2025 yang berlangsung meriah di Dewan Kampung Sampun Jugu pada Sabtu.
Beliau turut menekankan bahawa sambutan pelbagai perayaan oleh masyarakat pelbagai kaum seperti yang ditonjolkan dalam majlis itu mencerminkan perpaduan tulen yang menjadi identiti Sarawak.
“Setiap agama dan bangsa ada sambutan tersendiri seperti Hari Gawai, Krismas dan Aidilfitri. Apabila kita saling menghormati antara satu sama lain, Sarawak akan terus aman dan makmur
“Kita lihat malam ini, semua kaum duduk bersama – Iban, Cina, Melayu – berganding bahu. Inilah cerminan perpaduan yang kita perlu kekalkan,” tambah beliau.
Majlis anjuran Pejabat Daerah Asajaya itu turut menandakan penutupan rasmi sambutan Gawai Dayak di peringkat daerah, dan diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang.
Dato Sri Abdul Karim turut memuji keharmonian masyarakat di Asajaya yang meskipun bilangan masyarakat Dayak dan Cina masing-masing hanya sekitar 10 peratus, namun tetap memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu dan membangun bersama.
Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh mengenai masa depan Asajaya yang kini dianggap sebagai sebahagian daripada lingkaran pembangunan Bandaraya Kuching.
Beliau menekankan peranan sektor pertanian dan perikanan sebagai sumber makanan utama kepada penduduk Kuching serta penyumbang kepada ekonomi tempatan.
Mengenai pembangunan akan datang, beliau memaklumkan bahawa projek mega di Tanjung Embang seperti pembinaan lapangan terbang dan pelabuhan baharu dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi luar bandar dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
“Jika pelan ini diteruskan, kita akan lihat jambatan dibina dari Tanjung Embang ke dua pulau buatan, dihubungkan pula ke Tambirat dan Sambir. Kawasan ini berpotensi menjadi sebuah bandar satelit,” ujarnya.
Majlis turut dihadiri Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata, Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat, Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin, Temenggong Masyarakat Melayu, Chek Bujang, Temenggong Masyarakat Iban, Mohad @ Geoffrey Mamat Kuchai, serta Temenggong Masyarakat Cina, Liew Shark Sen.-EDISI UKAS